DATUK Haji Misbun Dato' Haji Sidek mencipta sejarah apabila muncul bekas pemain dan jurulatih sukan pertama Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi daripada pusat pengajian tinggi tempatan.
Beliau yang pernah membimbing tiga pemain nombor satu dunia iaitu Haji Rashid Dato' Sidek, Haji Roslin Hashim dan Datuk Lee Chong Wei pada kelmarin telah diperkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah @PhD (Pembangunan Insan) daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor merangkap Pro Canselor UTHM, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Pemilihan Misbun oleh barisan ahli Senat universiti berkenaan dibuat berdasarkan jasa dan sumbangan besarnya bergelumang selama 35 tahun kepada pembangunan sukan negara.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah penerimaan ijazah kehormat itu oleh Misbun ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang juga Pro Canselor UTHM, Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Ab. Aziz Kaprawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato' Haji Ismail Karim, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin,isteri Misbun, Datin Latifah Sidek, ahli keluarga Misbun serta pengurusan tertinggi UTHM.